Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
utusankelantan @utusan.com.my
KOTA BHARU 29 Jan. - Hasil
kajian yang dijalankan seorang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM)
mendapati rawatan berbekam mampu mengawal penyakit diabetes serta mengurangkan
risiko untuk menghidapi penyakit kardiovaskular.
Pensyarah Jabatan Perubatan
Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian, Prof. Dr. Ab.
Aziz Al-Safi Ismail berkata, kajian yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu
membuktikan paras gula dalam darah boleh menurun apabila rawatan tersebut
dijalankan secara konsisten.
Beliau berkata, bukan sahaja
paras gula dalam darah tetapi semua parameter fungsi ginjal seperti serum urea,
kreatinin dan asid urik yang mendorong kepada penyakit diabetes turut
menunjukkan penurunan apabila melakukan bekam.
"Secara tidak langsung,
masalah gout juga dapat dikawal kerana kadar asid urik dalam tubuh berkurangan
selepas menjalani rawatan. "Melalui kajian tersebut,
didapati berbekam mampu menurunkan risiko sakit jantung dan strok dengan
menurunkan antigen Von Willebrand dan meningkatkan fungsi endotelial,"
kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas mengadakan Syarahan Umum Pelantikan Profesor mengenai Bekam
dan Amalan Sunnah Mencegah Penyakit Kronik di Dewan Utama, USM di sini hari
ini. Yang hadir sama, Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah
Che Mat Nawi. Ab. Aziz berkata, kajian yang
ditaja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menunjukkan
kelebihan berbekam hanya dapat dirasakan jika melalui rawatan setiap empat
bulan atau 120 hari.
Dalam perkembangan sama,
beliau berkata, dia kini giat berbincang dengan hospital kerajaan dan swasta
bagi mewujudkan perkhidmatan perubatan tradisional kepada pesakit secara
pilihan. Selain manfaat berbekam,
perkhidmatan alternatif ini perlu diwujudkan di hospital-hospital sebagai
menjamin kebersihan peralatan berbekam yang digunakan. "Pada masa sama, saya
melihat berbekam ini juga dapat mengurangkan pengantungan ubat-ubatan apabila
menjalani rawatan tersebut secara konsisten," katanya.
Dalam majlis tersebut,
Profesor Dr. Siti Amrah Sulaiman turut menyampaikan syarahan umum mengenai Madu
Lebah Penawar Penyakit Sepanjang Zaman. Menurut beliau, hasil kajian
yang dilakukan mendapati madu boleh digunakan untuk merawat penyakit. "Berdasar kajian terhadap
haiwan diabetes, 'madu menolong' menurunkan paras gula dalam darah dan
mengembalikan tahap keupayaan anti oksidan dan melambatkan kerosakan organ seperti
ginjal. "Gabungan madu dan ubatan
diabetes menunjukkan hasil positif dan dijangka boleh mengurangkan masalah
komplikasi penyakit tersebut," katanya
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140130/wt_01/Bekam-kurang-risiko-diabetes#ixzz2vWeZBunK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan